Sabtu, 18 April 2020

Kisah Misteri - Bunyi Kasut Tumit Tinggi

Wawan Setiawan Tirta

- Satu hari, saya telah ke kawasan Potong Pasir kerana ada urusan tertentu. Jadi pada jam 9.30 malam saya beredar dan jalan keluar untuk menaiki bas pulang di kawasan perumahan estet di situ. Waktu itu masih ada Tanah Perkuburan Bidadari dan tanah perkuburan orang-orang Kristian di sana. Saya tunggu bas agak lama dalam 15 minit. Setibanya bas, saya naik dan duduk di tingkat atas kerana ianya jenis dua tingkat. Di atas kebetulan tak ada sesiapa kecuali saya. Saya tak kisah sangat dan terus duduk di tempat duduk di tengah bas tersebut.
Lat beberapa perhentian bas kemudian baru ada orang naik dan duduk di tingkat yang sama. Perjalanan terus lancar dan bila tiba di pusat pertukaran bas, saya pun terpaksa naiki bas feeder untuk pulang ke rumah. Di sini saya musykil. Saya hairan bas feeder yang selalunya tak pernah kosong tiba-tiba kosong bila bas belok ke kawasan dekat dengan rumah. Bas itu tidak kosong serta-merta, cuma pada malam tersebut penumpang mula turun empat perhentian sebelum perhentian berdekatan dengan rumah saya. Saya rasa macam menaiki "bas hantu". Waktu dah menunjukkan jam 10.20 malam.

Pada masa yang sama, saya tak terfikir yang bukan2. Bila sampai di perhentian bas berdekatan dengan rumah, saya pun macam biasa tekan loceng dan turun. Sedang saya berjalan menuju ke blok saya tinggal, saya terasa lain sedikit. Rasa macam saya berada di dalam kawasan hampagas. Bunyi di telinga macam "NNG... NNG... NNG..." Dan yang menghairankan lagi, saya tak terserempak satu manusia semasa saya jalan. Di jalan raya pun tak ada kereta atau bas yang lalu! Hairan bin ajaib betul. Bila saya sampai di kolong blok, terdengar di hadapan saya ada bunyi kasut tumit tinggi. Tok... Tok... Tok... Tok... Kuatnya macam ada alat peninggi suara pada kasut itu. Jenguk2 tak ada orang pula. Mana datangnya bunyi itu? Rasa2 dari arah depan tapi tadi tak nampak ada orang perempuan jalan pun!

Bulu roma saya dah meremang pada waktu itu. Saya pun baca ayat2 pendinding yang saya tahu. Sungguhpun saya rasa seram, saya cuba kuatkan semangat dan berlari, mengejar ke hadapan di mana bunyi itu datang. Saya pakai kasut jenis "moccasins" dan saya dapati bila saya kejar cepat, bunyi kasut tumit tinggi itu pun cepat. Bila saya jalan perlahan2 setapak, bunyinya pun seperti sedang berjalan setapak!

Sampai di tangga, saya cuba jenguk lagi di celah2 tangga tapi tak nampak bayang sesiapa. Cuba naik dengan perlahan satu tangga, bunyi tumit itu sekali. Naik perlahan empat tangga, ia berbunyi empat kali. Akhirnya saya pun naik geram dibuatnya. Saya pun naik tangga secepat mungkin. Sampai di lantai empat di mana saya tinggal, tiba2 angin tiup dengan kuat dan bunyi itu pun hilang dengan begitu saja! Keadaan saya yang sebelumnya rasa macam dalam hampagas terus macam terkeluar dari keadaan itu. Pada masa yang sama, terus terdengar bunyi kereta dan bas di jalan raya. Nampak saja pintu rumah, saya pun bergegas lari dan ketuk dengan kuat. Bila nampak ahli keluarga baru saya dapat menarik nafas panjang. Syukur yang saya tak diapa2kan oleh si DIA itu tadi...

Itu saja yang dapat saya ketengahkan... Terima kasih...

Dari KAK BV

TERIMA KASIH KAK BV!!!